My story begin like this…

Dahulunya impian kurus hanyalah angan-angan bagi saya. Sekarang saya hanya 7 kg daripada mencapai angan-angan saya. Inilah pengalaman saya menurunkan sebanyak 23 kg dari 80 kg ke 57 kg dalam lebih kurang tempoh masa setahun setengah.
Nama saya Jolynn dan sejak kanak-kanak, saya tak pernah kurus. Saya ingat lagi masa saya sekolah rendah, arwah nenek saya suruh saya jadi kurus, kalau tak, takde lelaki yang nak kat saya kelak. Tapi susahnya nak kurus. Keluarga saya memang pandai memasak! Setiap hari saya akan makan 2 pinggan nasi. Kadang-kadang 3 pinggan. Hebat kan? Di sekolah menengah pula saya pun akan makan nasi ayam goreng tanpa gagal pada setiap kali waktu rehat. Favourite saya tu. Saya sanggup berlari laju-laju dari kelas ke kantin pada ketika loceng berbunyi menandakan masa rehat bermula. Kadang-kadang saya pun akan curi-curi keluar dari kelas untuk beli nugget di kantin. Hahahaha.
.
Sebenarnya masa saya berada di Tingkatan 4, saya rajin bersenam. Saya akan ikut senaman dalam majalah. Saya siap bersenam di elliptical cross trainer juga. Masa tu berat saya 64 kg tapi berat saya tak turun-turun gak walaupun saya bersenam untuk hampir-hampir 2 jam setiap hari. Hahaha macam mana berat nak turun kalau melantak pada waktu malam? Makan nasi 3 pinggan oi! Hahaha! Maklumlah pada masa itu saya tidak tahu apa-apa mengenai kalori.
.
Lepas saya menamatkan pembelajaran saya di sekolah menengah, saya siap datang melawat sekolah saya untuk beli nasi ayam goreng itu, tapi malangnya, kedai tu dah diganti dengan kedai lain. Sedih sungguh hati saya pada masa itu huhu.
Masa diploma pula, saya kuat belajar di cafe dengan kawan-kawan sekelas sambil makan. Saya ingat lagi masa orientasi, saya akan tolong kawan-kawan saya habiskan makanan mereka sebab saya ni jenis tak suka membazir. Member-member pun tahu, “Haaa kalau tak boleh habiskan makanan,bagi je kat Jo. Dia tu DBKL dowh.” Hahaha.
.
Sebelum kelas saya makan, selepas kelas pun saya makan. Alasan saya sebab saya ni kuat belajar. CGPA saya takde la tinggi gila, tapi nafsu makan saya sah-sah lagi tinggi daripada CGPA saya hahaha! Belajar sampai larut malam pun saya makan. Tak kira lah pagi ke siang ke malam, saya akan makan nasi banyak gila. Saya ni bila makan memang nampak bersungguh-sungguh, sampai member-member yang tengok saya makan pun rasa berselera secara tetiba. Hahaha. Yang paling best, cafe kolej saya pada waktu diploma siap ada gerai nasi arab. Favourite gila saya tu! Saya langsung takde masalah nak habiskan sepinggan nasi arab besar tu siap dengan 1/4 ayam panggang. Perghhh sedap menjilat jari tu! Kadang-kadang family saya dengan saya keluar makan malam di KFC, saya tiada masalah langsung menghabiskan KFC Dinner Plate (yang ada 3 ketul ayam tu). Saya siap boleh tolong adik-adik saya habiskan ayam mereka tau hahaha.
Makan punya makan, pada akhir diploma saya, berat saya mencecah 80 kg. Saya memang tak percaya berat saya boleh capai tahap tu sebenarnya. Saya siap cakap penimbang tu rosak, padahal saya memang berat. Tapi saya tak buat apa-apa pun masa tu. Saya teruskan makan dan makan je. Bila saya sedih, saya makan. Gembira pun saya makan. Setiap kali saya makan hahaha. Bila saya tak rasa lapar pun saya boleh sumbatkan lagi makanan ke dalam mulut saya. Mak saya siap panggil saya, “Bottomless pit.”
.
Mak saya selalu bagitau saya yang dia memang kurus masa dia muda. Saya siap bagitau mak saya balik, “Takpe… Bila saya mati, saya nak mati dengan perut yang kenyang.” Tergamam mak saya haha. Lepas tu, mak saya cakap dia akan bagi saya RM10 untuk setiap kilo yang saya berjaya kurangkan. Bagus kan mak saya ni? Hahaha tapi saya minta mak saya untuk simpan duitnya je. Saya cakap makan lagi best dari duit. Hahaha! Mak saya punya la tak tahan tengok saya gemuk, dia terus daftarkan saya kat gym yang dekat dengan rumah. Gerun saya tengok nama gym tu sebab namanya ada perkataan Muscle & Fitness. Terus saya terbayang badan berketul-ketul. Tapi saya ikut je mak saya ke gym tu. Lepas dah siap daftar semua, mak saya pergi shopping sementara saya pula kena workout hahaha. Gym tu bukan gym elite tapi gym biasa-biasa je. Orang biasa panggil gym ghetto je. Di gym itu, saya diajar bagaimana untuk workout serta jaga makan.
.
Ketul tak ketul, saya teruskan je workout di gym itu untuk lebih kurang 2 bulan di samping menjaga makanan saya. Gym tu banyak menekankan angkat berat namun badan saya tak berketul-ketul langsung. Masa saya sambung degree saya, berat saya 65 kg.
Masalahnya seterusnya bermula di peringkat degree pula. Masa tu saya tak workout dan tak berapa nak jaga makan saya. Disebabkan itu, saya akan muntah-muntah selepas makan sebab takut menjadi gemuk balik macam dulu. Inilah yang dinamakan gejala bulimia. Tapi berat saya tak turun langsung pun masa tu. Saya siap dapat penyakit usus yang sangat teruk akibat gejala bulimia saya tu. Lepas tu saya insaf dan tak buat lagi dah gejala-gejala bulimia tu. Perit sangat masa dapat penyakit usus tu.
.
Saya pun pernah menghabiskan duit saya untuk produk kesihatan tapi takde kesan pun. Produk tu bagus tapi mahal sangat sebab ia merupakan produk MLM, padahal berlambak lagi produk yang lebih murah di luar sana. Bayangkan baru satu hari ambil produk tu, personal wellness coach saya dah tanya saya apa kelainan yang saya rasa. Saya tak rasa apa-apapun sebenarnya tapi saya tipu dia untuk kasi dia puas hati la hahahaha. Lepas tu dia tak habis-habis tanya saya, “Dah habis minum ke shake awak? Dah habis nanti boleh order lagi.” Hahaha nampak sangat dia nak mencekik duit saya. Dah la masa saya bayar dia, dia tak bayar balik pun baki saya. Tapi masa tu saya bersangka baik je sebab mungkin dia simpan baki tu sebagai duit minyak dia.
.
Selepas itu, saya pun mula rajin ber-google mengenai fitness dan kesihatan di internet. Dari situ saya terjumpa laman web Kevin Zahri dan terbaca mengenai success story Kak Diane Sera. Antara semua success story di sana, cerita Kak Diane paling menarik minat saya sebab Kak Diane memang sangat dedicated terhadap fitness lifestyle ini. Selain itu, Kak Diane pun suka mengangkat berat. Tak lama kemudian, Kak Diane membuat page di Facebook pula. Senanglah saya untuk contact Kak Diane meminta nasihatnya. Disebabkan Kak Diane, saya jadi tak takut untuk mengangkat berat yang lebih berat untuk menambahkan kekuatan saya di samping mendapat badan yang lebih mantap dan sihat. Kak Diane cakap, “Kalau saya boleh buat, awak pun boleh gak!”
Pastu Kak Diane pun pernah buat fitness competition kat Facebook-nye khas untuk perempuan sahaja. Masa tu saya nak join tapi tak dapat sebab tengah final exam. Tapi saya bagitau diri saya sendiri, biarlah tak dapat join competition tu, janji saya compete dengan diri saya sendiri untuk menjadi lebih baik. Saya pun beli sepasang dumbbell 5 kg dan mula membuat workout circuit training di rumah dengan menggunakan bodyweight saya serta kedua-dua dumbbell saya.
.
Hanya dengan melakukan workout circuit training dan menjaga makanan saya supaya tidak melebihi keperluan kalori seharian saya, daripada berat saya yang statik 65 kg sejak sambung degree, hari ini berat saya 57 kg. Saya pun tak sangka, inilah kali pertama dalam hidup saya berat saya di bawah 60 kg sejak sekolah menengah. Saya masih mempunyai 7 kg lagi lemak untuk dikurangkan. Terima kasih kepada Kak Diane sebab menginspirasikan saya untuk selalu improve diri saya. Bak kata Kak Diane, “If I can do it, so can you!”
Penulis

Coach Diane Sera dikenali ramai sebagai seorang Terapis Senaman, jurulatih peribadi & bootcamp, jurulatih kecergasan ibu pra & post natal, jurulatih bina badan sains sukan, trainer of trainers, pakar pemakanan dalam bidang kecergasan & sukan. Lebih dari 8 tahun meneruskan misi membantu dalam mengubah hidup orang ramai tentang kepentingan kesihatan dalam kehidupan seharian. Kemampuan beliau sebagai wanita multitasking yang berjaya menyeimbangkan antara kerjaya, keluarga, dan kesihatan mampu menjadikan beliau seorang jurulatih komuniti & atlit Wanita Badang yang hebat, dalam masa yang sama mampu memahami lebih mendalam akan keadaan hidup wanita di zaman mencabar ini. Kenali lebih mendalam tentang Diane Sera

Tuliskan komen